5 aktiviti merangsang dan memupuk kreativiti anak-anak

Anak pintar dan kreatif? Bagaimana cara yang paling berkesan untuk merangsang kreativiti mereka? Jom kita scroll dan baca.

1.         Merangsang kreativiti anak dengan bercerita.

Bercerita adalah aktiviti yang menarik untuk anak-anak. Anak-anak boleh berlatih berimaginasi serta belajar banyak perbendaharaan kata.

Ibu dan bapa boleh bercerita sebelum anak-anak tidur. Galakkan juga anak-anak menceritakan semula cerita kita atau cerita yang mereka sukai.

Apabila anak-anak bercerita, tunjukkan respons positif supaya mereka merasakan kemampuan mereka dalam berkomunikasi dapat menarik perhatian orang lain.

Apabila keyakinan diri ini lahir, anak akan dapat berkarya dengan baik.

 

2.         Menyusun blok-blok seperti LEGO.

Dalam permainan ini, anak-anak digalakkan membina bangunan atau apa sahaja dengan blok-blok yang berlainan bentuk dan saiz. Ini menjadikan daya imaginasi dan kepandaian istimewa anak-anak terangsang.

Prinsip permainan Lego sebenarnya sama dengan bermain blok tetapi bentuk yang dihasilkan oleh Lego lebih banyak dan pelbagai.

Ada juga permainan menyusun lain seperti kereta mainan model Tamiya, kapal terbang dan robot yang boleh dipasang sendiri.

3.         Bermain jigsaw puzzle.

Selain daripada membeli, jigsaw puzzle juga boleh dibuat sendiri. Cari gambar dalam surat khabar ataupun majalah lama. Gunting gambar dan tampal di atas kertas tebal. Selepas itu, gunting menjadi beberapa bahagian.

Sesuaikan tahap kesulitan jigsaw puzzle mengikut usia anak. Menyatukan kepingan-kepingan gambar menjadi gambar yang lengkap akan membantu mengembangkan cara berfikir anak-anak.

4.         Mengembangkan kreativiti anak dengan melukis dan mewarna.

Sediakan kertas, alat melukis dan alat-alat tulis di rumah. Jadi anak-anak dapat melukis pada bila-bila masa sahaja.

Sediakan juga buku-buku yang mempunyai karakter kegemaran mereka. Contohnya seperti buku warna dan aktiviti Omar & Hana. Terdapat banyak aktiviti di dalam buku tersebut. Alhamdulillah!

Berikan anak kebebasan meluahkan perasaan dan idea mereka. Tugas kita adalah menyokongnya. Beri respons positif, tidak kira bagaimana pun hasil lukisan dan warna mereka. Sesekali pamerkan gambar itu bagi menunjukkan penghargaan kita.

5.         Beri anak bermain tanah liat dan plastisin.

Ajak anak-anak bermain dengan tanah liat atau plastisin untuk menghasilkan bentuk-bentuk yang menarik.

Ibu dan bapa hanya perlu mengajar anak-anak cara menggunakan dan membentuknya. Kemudian beri anak-anak kebebasan bagi membentuk apa sahaja yang mereka mahu.

Sebenarnya, ada banyak lagi tip tapi cukup sekadar ini yang kita praktikkan dulu. Kepada ibu dan bapa sentiasalah mencungkil bakat anak-anak anda.

Semoga bermanfaat!

 

 

Kredit: https://tudungsicomel.com/   

KALENDAR BUKU PRIMA
KATALOG MILIKI SEGERA ! Dapatkan buku baru dan tawaran istimewa bulan ini.