ALKOHOL & ARAK




Adakah alkohol itu arak?

Setiap minuman arak mengandungi alkohol tetapi bukan semua alkohol adalah arak. Hukum bagi alkohol yang diperoleh dari proses pembuatan arak adalah *haram* dan najis.

Adakah ianya memudaratkan?

Alkohol yang diperolehi bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis tetapi *HARAM* diminum dalam bentuk asli kerana ia adalah racun dan boleh membunuh.

Berapakah kadar alkohol yang dibenarkan dalam minuman ringan?

Minuman ringan yang diproses bukan dengan tujuan untuk menghasilkan arak dan mempunyai alkohol di bawah 1% adalah harus (boleh) diminum.

Apakah hukum minuman yang disuling alkoholnya daripada proses pembuatan arak?

Minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara yang sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah *HARAM* diminum.

Apakah hukum sekiranya alkohol terjadi secara sampingan sewaktu pemprosesan dijalankan?

Makanan atau minuman yang mengandungi alkohol secara semula jadi seperti buah-buahan, kekacang atau bijirin serta perahannya atau alkohol yang terkandung itu terjadi secara sampingan semasa proses pembuatan makanan atau minuman adalah tidak najis dan harus (boleh) dimakan atau diminum.

Apakah syarat-syarat yang perlu dipatuhi untuk menggunakan alkohol sebagai penstabil makanan?

Makanan atau minuman yang mempunyai bahan perisa atau pewarna yang mengandungi alkohol untuk tujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan sekiranya alkohol itu bukan dihasilkan daripada proses pembuatan arak dan kuantiti alkohol dalam produk akhir itu tidak memabukkan serta kadar alkohol tidak melebihi 0.5%.

Apakah pula hukum alkohol yang terdapat pada ubat-ubatan dan minyak wangi?

Ubat-ubatan dan minyak wangi yang mengandungi alkohol sebagai bahan pelarut adalah tidak najis dan diharuskan sekiranya alkohol tersebut bukan diambil melalui proses membuat arak.

 

 

Sumber:- Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia

Ikuti info-info Halal Malaysia di Facebook Bahagian Hab Halal, JAKIM:-

http://bit.ly/FBHABHALAL
www.halal.gov.my




KALENDAR BUKU PRIMA