5 KRITERIA PENTING MEMBINA PEMIMPIN YANG HEBAT




Bukan mudah hendak menjadi seorang pemimpin yang hebat. Setakat jadi pemimpin yang baik mungkin lebih mudah.

Seseorang menjadi pemimpin yang hebat bukan sebab keupayaan meloloskan diri bermain politik hingga berjaya naik tangga menjadi pemimpin.

Bukan juga disebabkan faktor ‘siapa anda kenal’. Bukan kerana anda pandai cakap dan panda menyemarakkan semangat orang lain.

Itu semua memang memainkan peranan sedikit sebanyak. Tetapi ada faktor lain yang lebih mendalam yang perlu diterapkan menjadi amalan dalam diri.

Menurut Universiti Conerstone, kita perlu ada lima kriteria dalam diri jika kita berhasrat membina sifat kepimpinan yang hebat dalam diri.

1. Perbaiki diri sendiri terlebih dahulu

Sebelum kita hendak menyuruh orang lain mengikut kita, pemimpin yang hebat wajib memikirkan penambahbaikan diri sendiri terlebih dahulu.

Ini kerana sebagai pemimpin, kita akan sentiasa berada di barisan hadapan baik dari segi budaya kerja, integriti dan sebagainya.

Kalau kita asyik menyuruh orang lain supaya meningkatkan diri sedangkan kita sendiri tidak mengambil masa untuk mengusahakan penambahbaikan diri, jangan harap orang lain akan ikut secara sukarela. Kalau ikut pun, hanya kerana terpaksa.

Oleh itu, ungkapan ‘dengar apa aku cakap, bukan tengok apa aku buat’ memang tidak bersesuaian buat seorang pemimpin yang hebat.

Kalau kita hendak orang bawah datang awal, kita sendiri perlu datang awal. Kalau hendak orang bawah berlaku baik terhadap pelanggan, jangan pula kita  mengata-ngata buruk di belakang pelanggan. Kalau kita hendak maklum balas yang pantas, kita sendiri perlu memberikan respons dengan pantas.

2. Sentiasa mengalu-alukan maklum balas

Kita sememangnya bukan pemimpin yang hebat seandainya kita  tidak suka dengar kritikan. Kita perlu bersedia menerima maklum balas, sama ada positif ataupun negatif.

Realitinya, semua orang pasti ada kelemahan dan kekuatan masing-masing. Kita  mesti menerima hakikat itu dengan hati terbuka.

Jika kita sentiasa dikelilingi oleh mereka yang kuat kipas sahaja, itu petanda bahawa tidak lama lagi kecelakaan akan melanda.

Jadi, berhati-hati dengan sikap kita apabila menerima maklum balas supaya kita akan dikelilingi oleh mereka yang jujur dan berterus terang. Bina kepercayaan dengan sikap yang tidak asyik mempertahankan diri apabila dikritik, baru orang selesa untuk memberi maklum balas, baik yang positif mahupun negatif.

Kita ada kuasa sebagai pemimpin bukan untuk digunakan bagi memaksa orang mengikut secara membuta tuli. Kuasa itu patut digunakan untuk mendorong semua orang mencari jalan penyelesaian yang terbaik. Semua orang perlu memainkan peranan masing-masing dan bersikap telus tanpa ada perasaan takut atau tergugat.

3. Sentiasa belajar hingga ke liang lahad

Kalau kita inginkan peningkatan, kita perlu bersedia untuk membuat perubahan. Menerima perkara baharu, mencuba amalan baharu, melepaskan kepercayaan dan amalan lama walaupun ia selesa tetapi tidak membawa kita ke mana-mana.

Apabila kita sudah menjadi bos, kesilapan paling besar yang kita boleh lakukan adalah berhenti belajar. Anggapan ‘saya sudah tahu semua’ adalah titik tolak kepada bermulanya era kejatuhan.

Oleh itu, kalau hendak menjadi pemimpin yang hebat, kerja mencari ilmu perlu diamalkan sehingga ke liang lahad. Selagi hidup, kita perlu belajar perkara-perkara baharu, baik kemahiran, teknologi, pemikiran, konsep dan sebagainya yang ada hubung kait dengan apa yang kita buat. Beli dan baca buku baharu, layari internet untuk mencari maklumat terkini dan lain-lain.

4. Menggalas tanggungjawab penuh

Sifat ini adalah tanda pemimpin yang hebat. Dia akan menggalas tanggung jawab bagi semua yang berlaku. Kerana sebagai pemimpin, semuanya akan balik kepada dirinya — baik dasar pelaksanaan yang salah, polisi yang tidak betul mahupun pemilihan orang yang tidak sesuai. Tiada orang lain yang patut disalahkan melainkan diri pemimpin itu.

5. Memimpin orang lain untuk melangkah maju

Perkara paling mudah dilakukan adalah menjatuhkan orang lain. Ini tindakan yang mudah kerana kegagalan adalah perkara lumrah dalam hidup setiap orang. Apabila kegagalan berlaku, orang lain akan terus menggunakan kesempatan itu untuk menjatuhkan orang yang disasarkan.  

Tetapi inilah yang akan membezakan  antara kita dengan orang lain, sama ada kita pemimpin yang hebat atau yang cepat mengambil kesempatan.

Sebagai pemimpin, kita boleh mengkritik orang bawah tetapi bukan dengan niat menjatuhkan martabatnya .

Sebaliknya, kita patut menggunakan kecerdikan akal yang ada untuk mengkritik berdasarkan kesesuaian, yang mampu melonjakkan semula orang itu untuk mara ke hadapan.

Ada kalanya kita perlu berlaku tegas ketika memimpin dan berkomunikasi. Itu bukan bermaksud untuk menjahanamkan orang lain. Ia terpaksa dilakukan bagi menunjukkan tahap kepentingan sesuatu keadaan.

Ketegasan pula tidak dilakukan sehingga orang bawah merasa kita tidak lagi menyokong dan mempercayai mereka. Ketegasan kita patut menghantar mesej bahawa kita mahukan yang terbaik untuk mereka.

Rumusan

Kepimpinan bukanlah perkara yang mudah; bukan setakat keupayaan memberi arahan buat itu dan ini. Ia sebenarnya adalah penonjolan ciri-ciri dalaman keperibadian kita yang terhasil daripada disiplin dan amalan mulia yang diterapkan sepanjang kehidupan kita.

Sumber artikel: leaderonomics.com

Sumber imej: Google

 

KALENDAR BUKU PRIMA