Empat Langkah Wuhan Berjaya Bendung Covid-19




Pada 18 Mac 2020 menjadi hari pertama wilayah Wuhan, China tidak mencatat sebarang kes jangkitan baharu COVID-19 sejak wabak itu mula-mula tercetus pada Disember tahun lepas.

Wuhan menjadi titik tengah penularan wabak itu sehingga ke seluruh dunia yang kini sudah menjangkiti lebih daripada 270,000 orang di 184 buah negara dan wilayah, membunuh lebih 11,200 nyawa namun pada masa sama 90,000 kes berjaya disembuhkan.

Tiga bulan menderita, akhirnya Wuhan dapat menarik sedikit nafas lega hasil usaha bersama mereka dari barisan hadapan perubatan sehinggalah kerjasama seluruh rakyat wilayah tersebut.

Bagaimana mereka dapat mengekang penularan wabak yang sangat mudah menjangkiti sistem pernafasan manusia itu? Ini empat langkah yang diambil serius oleh kerajaan China dan rakyatnya yang PATUT KITA IKUTI.


1. Penjarakan sosial secara agresif

Wuhan mengenakan sekatan ketat kepada seluruh penduduknya. Ini amat mustahak untuk dipatuhi kerana menjarakkan diri daripada mengadakan kontak fizikal dengan sembarangan orang dapat memutuskan rantaian jangkitan. Walaupun kita merasakan diri kita sihat walafiat, ketahuilah bahawa virus itu boleh dibawa oleh tubuh kita dan menjangkiti orang lain, walaupun sebelum tubuh kita menunjukkan sebarang simptom.


2. Pemeriksaan meluas

Ada kelompok yang enggan membuat pemeriksaan walaupun ada sejarah pertemuan dengan kelompok suspek, kerana (sepertimana dikatakan tadi) merasakan diri masih sihat. Jika anda pernah menyertai mana-mana perhimpunan yang didapati dihadiri pembawa virus, tolong tampil dan buat pemeriksaan.

3. Bersedia dengan lonjakan jumlah pesakit

Wuhan segera membina beberapa kompleks hospital baharu untuk menghadapi peningkatan kes COVID-19 di wilayah itu. Ini berada di bawah bidang kuasa kerajaan dan persediaan awal perlu dibuat bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Bekalan perubatan, jumlah kekuatan kakitangan serta ruang merawat pesakit menjadi perkara utama yang perlu diurus sebaiknya.


4. Perintah kawalan pergerakan sesegera mungkin

Ini bahagian yang amat memerlukan kerjasama rakyat khususnya. Kerajaan sudah mengeluarkan perintah, dan ianya perlu dipatuhi semua lapisan masyarakat tidak kira siapa. Misi besar kita memenangi perperangan melawan wabak ini bermula dengan usaha memutuskan rantaian jangkitan.


Pastinya keempat-empat tindakan ini sudah diuar-uarkan secara meluas di pelbagai platform, namun masih ramai yang memandang mudah kepentingan untuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diisytihar berkuat kuasa mulai 18 Mac tempoh hari.

Tak perlu tunggu sampai angka kematian mencecah ribuan nyawa baru mahu mula bertindak. Jangan sampai sudah terhantuk baru nak terngadah, kita tidak mahu nasi menjadi bubur. Sekiranya semua bersatu dan memberi kerjasama penuh terhadap usaha yang dijalankan, mudah-mudahan wabak ini akan segera hilang dari muka bumi bertuah Malaysia ini.

Sumber artikel: Astro Awani

Sumber imej: Google

 

TOP 3 SERAM
    TOP 3 THRILLER
    TOP 3 KIDS PRIMA
      KALENDAR BUKU PRIMA